Halaman

Adakah Ini Cinta



Mungkin ramai antara kita pernah bercinta, merasai asyiknya cinta itu dan tenggelam di dalam kemabukannya. Malah Syed Qutb, Abu talhah serta Hasan Al-Basri pernah menyintai seorang perempuan sebelum pernikahan mereka. Selain dari itu, Khadijah r.a juga mempunyai rasa suka kepada Rasulullah sebelum peminangan beliau pada baginda.
Dan sungguh cinta itu tidak pernah salah. Malah ia memberi cahaya kehidupan dan harapan yang melestarikan nafas yang panjang pada dunia yang mencabar ini.

Namun diri kita tahu akan kelemahan diri kita. Kita tahu di mana tempatnya kita bakal jatuh, jika kita kurang berhati-hati.

Seperti itu jugalah kebanyakan wanita, kita amat mudah menyintai dan menyayangi manusia lainnya. Hati kita dipenuhi cinta dan sayang. Terkadang mampu dikawal, terkadang mencengkam dan memakan diri kita sendiri.

Dan kita tahu di situlah kelemahan kita. Apabila diberikan kepada yang belum haq, kita akan tenggelam dalam keasyikan yang merudum jiwanya. Cinta yang ditakuti takkan sampai ke penghujungnya. Cinta yang mencemari cinta kita kepada Rabb kita. Dan ditakuti kita akan sesat dalam kegelapan akibat cinta yang asyik itu.

Dan kerana itu cinta ini disimpan rapi, hanya untuk dimiliki yang hak dan berhak sahaja. Bukan kerana kita membenci cinta itu. Bukan menolak mereka yang menyintai kita. Tapi kerana kita tahu di mana titik lemah kita. Dan cinta itu kita simpan sekedapnya, agar siapa sahaja yang kita berikan cinta itu, biarlah cinta itu hanyalah kerana Allah semata-mata.

'saya takut kalau saya menyayangi seseorang, orang itu akan lebih menyayangi saya dari saya menyayangi dia. dan itu pernah berlaku pada saya.'

Padaku ucapan itu mungkin bernada agak perasan, namun aku tahu dari lubuk hatinya, itu merupakan ucapan yang tulus.

'tapi saya isteri awak, tentu saya perlu sayang pada awak.'

'betul, tapi saya takut awak akan rasa kecewa di kemudian hari, jika apa2 yang berlaku pada kita.'

Suara hati nakalku berkata, 'takpe, saya akan jadikan awak sayang saya lebih dari saya sayang awak, baru awak tahu!'

Namun aku menjawab, 'tak apa, bukankah kita ada Allah. Apapun yang berlaku dalam hidup kita, kita ada Dia untuk kita mengadu akan keadaan itu.'

Ketika aku menyalami tangannya, aku tenang melihat dirinya pergi. Namun fikiranku tetap memikirkan akan dirinya yang aku temui cuma acap kali sahaja dalam masa beberapa minggu.

Dan ketika aku pulang ke bandar beku dan sejuk ini, aku teringat suasana hiruk pikuk dan siren ambulans yang berkumandang setiap 10 minit di kota London. Asap dan enjin kereta yang mampat mungkin menjadikan udara di bandar kosmopolitan itu berhawa tinggi dan sering mengundang peluh di bajuku.

Sudah tentu kenangan bersama dia takkan dapat aku lupakan.

Setiap kali kembali setelah bertemu dengannya pasti aku akan teringatkan perbualan-perbualan yang kami lalui bersama. Pertama kali dalam hidupku, aku begitu dekat dengan jiwa seorang lelaki bergelar suamiku.

Dan aku tahu di saat itu, aku telah mula menyintai dirinya. Mahu membantu dirinya sepanjang hidupku. Mahu menjadi sayap pejuangnya walaupun mungkin aku dan dia bukanlah pasangan yang sempurna di dunia ini. Banyak ujian melanda. Dan sungguh setiap kisah-kisah pasangan baru berkahwin adalah berbeza sekali. Namun di sebalik ujian itu, ada kemanisan setiap kali cabaran itu dapat dilepasi.

Adakah dapat aku sembunyikan rahsia hati ini, menjadikan dia lebih menyintai diriku dari diriku menyintainya?

Namun tentu bukan itu matlamatku dalam perkahwinan ini. Perkahwinan ini adalah ibadah. Cintaku padanya adalah suatu ibadah. Aku menyintainya kerana Allah dan aku berasa amat tenang dengan cinta itu. Cinta yang menjadikan aku sentiasa berhubung dengan Allah di saat susah dan senang menghadapi bahtera rumah tangga ini.

Satu anggapan yang salah, seorang ukht berkahwin dengan seorang akh untuk mendapatkan kekuatan dari pasangannya. Ya, sebahagiannya betul, namun hakikatnya, ujian kehidupan pasti melanda setiap seorang dari kita. Kerana itu, peribadi kita sendiri perlu kuat. Hubungan kita dengan Allah perlu amat mantap.Terkadang pasangan kitalah yang perlu dibantu, bukan kita yang dibantu.

Tentu dalam berBaitul Muslim sendiri ada pasang surutnya. Namun yang menyatukan dua hati manusia yang asing ini adalah Allah. Apabila keduanya kembali semula pada Allah dan meminta petunjuk dariNya.

Dahulu aku takut tenggelam dengan cinta. Cinta sesama akhawat sendiri menyebabkan air mataku kering kerana banjirannya. Namun ketika akad tertahkik, cinta yang kurasai ini, ibarat hujan yang turun secara tenang dan damai, membasahi tanah sahara yang kekontangan. Menyimbahi tumbuhan yang kekeringan. Ia memberi sinar di pagi hari, menyuluh kegelapan di waktu malam.

Dan aku tidak katakan cintaku pada dakwah, pada Allah, dan pada akhawat berkurang kerana aku menyintai seorang lelaki yang Allah jodohkan buatku. Malah cinta itu bertambah, menolak motivasi dan melimpah ruah. Kerana cinta itu terlalu istimewa. Ia boleh meletakkan jiwa kita di tempat teratas, atau menjadikan kita manusia yang amat hina sekali.

Aku tidak mengatakan cinta itu salah sebelum perkahwinan. Cuma kelemahan aku sendiri, aku pasti, jika cinta itu sebelum terjadinya akad, pasti aku akan menjadi manusia yang hina di sisi Allah. Kerana aku tahu, ketika pintu hatiku terbuka untuk sebuah cinta, limpahannya akan mengairi seluruh lautan yang wujud di muka bumi ini.

Tentu pernah kita dengar, sesorang wanita sanggup membuat apa sahaja kerana cinta, menyerahkan tubuh, menjual harta, hanya kerana seorang lelaki yang belum menjadi miliknya.

Dan indahnya cinta itu apabila ianya diberikan buat yang hak. Kerana ia sentiasa diiringi doa dan barakah. Tentu banyak rahsia Allah yang tidak kita ketahui dalam hidup ini. tentu akhir perjalanan kita takkan kita ketahui akhirnya. Namun kita sentiasa perlu positif, meraih yang terbaik dalam hidup kita, dan memaknai setiap kenikmatan dan kebahagiaan yang Allah rezekikan untuk kita.

Alangkah indahnya bila segalanya kerana Allah. Bercinta pun dapat pahala!

"Mahukah kamu aku beritahu dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seorang lelaki?" Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira , jika suaminya menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara kehormatan dirinya." - (HR:Ibnu Majah)

Rasulullah bersabda lagi:

"Jika diizinkan seorang manusia sujud kepada manusia, tentu aku akan suruh wanita-wanita sujud kepada suaminya lantaran begitu besar Allah jadikan hak lelaki keatas wanita."

- Artikel iluvislam.com

Read more...

MAKSUD SOLAT JAMAK

Solat jamak merupakan satu kelonggaran bagi orang yang musafir ialah dengan cara menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua.

Solat jamak itu merupakan satu kelonggaran yang dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Subuh tidak boleh diqasarkan, dan perlu ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.

Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat jamak, harus juga solat qasar. Maksud solat jamak ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zohor dengan Asar, atau Maghrib dengan Isyak dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Solat Subuh tidak boleh dijamakkan.

Menurut pendapat imam Syafi’i, mengatakan bahwa jika seseorang berniat hendak mukim lebih dari empat hari, harus mencukupkan shalat, dan kalau kurang, boleh mengqashar dan jamak. Tempoh masa ini berbeza daripada satu mazahab dengan mazahab yang lain.

Hanya dalam salah satu pendapat imam Syafi’i, bahwa kalau keadaannya seperti kalau bermukimnya seseorang itu karena ada sesuatu keperluan yang harus diselesaikan, dan selama menunggu itu ia mengatakan: “Saya akan pulang hari ini atau esok”, maka maka dibolehkannya mengqasar dan jamak itu terbatas tujuhbelas atau delapanbelas hari, dan jika lebih dari itu, maka harus mencukupkan. Syarat-syarat solat jamak dan qasar
1. Tujuan ia musafir bukannya untuk tujuan maksiat.
2. Perjalanannya hendaklah melebihi dua marhalah.
3. Solat yang diqasarkan itu hanya bagi solat Zohor, Asar, dan Isyak sahaja, dan dilaksanakan secara tunai. Tidak dibolehkan qasar solat qada bagi solat yang ditinggalkan semasa musafir apabila telah tiba di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di masih dalam musafir.
4. Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.
5. Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam (sempurna ).
6. Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.
7. Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.
8. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Solat Jamak terbahagi kepada dua:

1. Jamak Taqdim
2. Jamak Takkhir.
Solat Jamak Taqdim:
Solat Jamak Taqdim dilakukan dengan mengumpulkan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isya’ pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini dengan Jamak Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.
[sunting] Syarat-syarat Jamak Taqdim:

1. Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya mendirikan dahulu solat Zohor atau Maghrib yang dikira solat yang pertama, kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar atau Isya’ yang dikira solat kedua.
2. Hendaklah diniatkan jamak pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.
3. Hendaklah berturut-turut (mu'alat) antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.
4. Hendaklah berkekalan musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratul-ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya apabila ia jadi mukim di antara dua solat itu.

Solat Jamak Takkhir:

Jamak Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar, atau solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan dalam waktu Isya’. Dinamakan solat ini dengan Jamak Takkhir kerana solat pertama yang telah tamat waktunya itu dibawa ke solat yang kedua.
Syarat-syarat Jamak Takkhir:

1. Hendaklah berniat Jamak Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama (umpamanya berniat Jamak Takkhir untuk solat Zohor bersama solat Asar, sebelum tamat waktu Zohor). Jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang kedua.

2. Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada’.

diambil
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Read more...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails