Halaman

SEGERALAH MENCARI PINTU TAUBAT


Disampaikan oleh Al-Sayyid Syaikh Muhyiddin Abdul Qadir Al-Jailani Di Madrasah al-Ma’murah, Ahad, 10 Syawal 545H (Rujukan : Fathur-Rabbani)

Wahai kaumku…!

Capailah olehmu pintu kehidupan itu selagi ia masih terbuka untukmu, kerana tidak lama lagi pintu itu akan tertutup buatmu. Lakukanlah kebaikan, selama kamu masih mampu melakukannya. Segeralah mencapai pintu taubat dan masuklah kamu ke dalamnya, selama ia masih terbuka buatmu. Capailah pintu doa kerana pintu itu masih terbuka untukmu. Bersegeralah kamu mencapainya, berdesak-desakan dengan saudara-saudaramu yang soleh, kerana pintu itu terbuka untukmu.

Wahai kaumku…!

Bangunkanlah semula apa yang sudah kamu robohkan. Cucilah apa yang telah kamu kenakan najis. Perbaikilah apa yang telah kamu rosakkan dan jernihkanlah apa yang telah kamu keruhkan. Kembalikanlah apa yang sudah kamu ambil dan kembalikanlah kepada Tuhanmu apa yang telah engkau larikan daripada-Nya tanpa izin-Nya.

Wahai hamba…!

Tiada sesuatu pun di sini kecuali al-Khaliq. Jika engkau bersama al-Khaliq maka engkau adalah hamba-Nya, dan jika kamu bersama makhluk-Nya, maka kamu adalah hamba mereka, hingga engkau dapat membuang ketandusan dan kegersangan di hatimu serta mencerai-beraikan semuanya dari hatimu. Apakah kamu tidak tahu, bahawa orang yang mencari Allah akan berpisah dengan semuanya itu. Sudah cukup jelas, bahawa segala sesuatu dari makhluk adalah hijab antaranya dengan Khaliq.

Wahai hamba…!

Janganlah kamu bermalas-malas, kerana selamanya kemalasan itu akan membuatmu terhalang dan akan menimbulkan penyesalan di dalam hatimu. Oleh itu perbaikilah pekerjaanmu, sementara Allah telah berbuat baik kepadamu, di dunia mahupun di akhirat.

Abu Muhammad al-’Ajami Rahimahullah sentiasa berdoa dengan ucapan: “Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang baik.” Seakan-akan ia bermaksud mengatakan: “Ya Allah, jadikanlah kami sebagai orang yang memperbaiki apa yang telah kami lakukan.” Tetapi lafaz itu tidak sampai beliau ucapkan.

Barangsiapa yang pernah merasakannya, maka ia akan mengetahuinya. Pergaulan yang baik dengan makhluk dan berteman dengan mereka dalam batas-batas syariah dan keredaan-Nya adalah pergaulan yang diberkati. Sebaliknya, jika hal itu dilakukan dengan melanggar batas-batas syariah dan tiada keredaan-Nya, maka janganlah lakukan itu, kerana tiada kehormatan untuk mereka. Penerimaan dan penolakan terhadap suatu ketaatan merupakan suatu petanda bagi kaum sufi dan orang-orang yang menjauhi kemaksiatan.

Wahai hamba…!

Tegakkanlah perangkap doamu dan kembalilah kepada keredaan. Janganlah engkau berdoa dengan lidahmu, sementara hatimu berpaling daripada Allah al-Haq. Pada hari akhirat kelak, semua manusia akan teringat akan apa yang telah dilakukannya di dunia, sama ada kebaikan atau keburukannya. Penyesalan ketika itu tiada bermanfaat sama sekali, demikian juga dengan ingatan itu. Bahkan tidak bermanfaat juga baginya mengingat hari kematiannya, ingat akan tanah pertanian dan persemaiannya dan masa menuai bagi manusia. Semuanya itu tidak bermanfaat lagi.

Jika kematian datang kepadamu, maka engkau akan terjaga (sedar akan segala perbuatan dan tindakan yang dilakukan selama hidup di dunia). Bagaimanapun terjaga pada waktu itu tidak berguna lagi bagimu.

“Ya Allah..! Bangkitkanlah kami daripada ketiduran orang-orang yang terlupa terhadap-Mu dan orang-orang yang tidak mengerti tentang Engkau…”

Wahai hamba…!

Persahabatanmu dengan keburukan akan menjadikan kamu orang-orang yang berprasangka buruk terhadap kebaikan. Berjalanlah kamu di bawah naungan Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya, nescaya kamu akan berbahagia.

Wahai kaumku…!

Malulah engkau kepada Allah dengan sebenar-sebenar malu. Janganlah kamu melalaikan masa-masamu, janganlah kamu menyia-nyiakannya, janganlah kamu menyibukkan dirimu dengan mengumpulkan sesuatu yang tidak dapat engkau makan, mengangan-angankan sesuatu yang tidak akan dapat engkau capai, membangun sesuatu yang tidak mungkin engkau diami. Kerana semuanya itu akan menghalangimu daripada maqam Tuhanmu. Ingatan kepada Allah selalu terhunjam di dalam hati orang-orang yang arif, sehingga mereka lupa akan segala sesuatu yang pernah diingatinya sebelum itu.

Apabila hal itu dapat kamu laksanakan dengan sempurna, maka syurgalah tempat tinggalmu, iaitu syurga yang dipilih dan syurga yang dijanjikan. Syurga yang dipilih di dunia ialah reda kepada qada’ Allah, dekatnya hati kepada Allah, bermunajat kepada-Nya, menyingkap tabir yang ada di antaranya dengan Allah. Ini akan menjadikan pemilik hati itu sebagai berteman dengan teman Allah di dalam kesunyiannya, tanpa perincian dan tanpa perumpamaan.

Allah swt berfirman :

“Tiada sesuatu juapun yang menyerupai-Nya, dan Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (al-Syura : 11)

Adapun yang dijanjikan, ialah segala sesuatu yang sudah dijanjikan oleh Allah Ta’ala kepada orang-orang yang beriman dan melihat kepada Dzat Allah Yang Maha Agung, tanpa hijab. Tidak disangsikan lagi, bahawa semua kebaikan adalah di sisi Allah, manakala keburukan itu berada di sisi makhluk. Kebaikan adalah dalam menghadap kepada-Nya sedangkan keburukan adalah berpaling daripada-Nya. Setiap amalan yang kamu harapkan ganjarannya, maka ia adalah milikmu. Manakala semua amal yang kamu lakukan demi Allah dan untuk Allah, maka amal itu adalah untuk-Nya.

Apabila engkau beramal dengan mengharapkan imbalannya maka balasan untukmu ada pada makhluk, dan apabila kamu beramal kerana Dzatnya, maka balasan untukmu adalah kedekatanmu kepada-Nya dan melihat-Nya.

Kemudian, janganlah engkau mengharapkan imbalan amalmu secara keseluruhan. Segala sesuatu yang ada di akhirat, di dunia dan selain daripada Allah, bersandar kepada-Nya. Janganlah engkau mencari kenikmatan itu kepadamu. Carilah jiran, sebelum kamu mencari rumah yang hendak engkau diami. Dia Yang Ada sebelum adanya segala sesuatu. Dialah Yang Mengadakan segala sesuatu, dan Dialah Yang Ada setelah segala sesuatu.

Hendaklah engkau sentiasa ingat akan mati dan bersikap sabar atas segala bencana, serta bertawakallah kamu kepada Allah dalam semua keadaan. Jika ketiga-tiga tahap ini telah engkau laksanakan dengan sempurna, maka pada suatu ketika, akan datanglah malaikat kepadamu dengan mengingatkan kematian yang menjelang dan ketika itu berhasillah kezuhudanmu. Dengan kesabaran, engkau akan memperolehi segala sesuatu yang engkau harapkan dari Allah s.w.t, dan dengan ketawakalan, akan keluarlah segala sesuatu dari hatimu, sehingga ia hanya terkait dengan Allah semata-mata. Singkirkanlah dari hatimu dunia, akhirat dan segala sesuatu selain daripada Allah. Dengan demikian, akan datang kepadamu kesegaran dan ketenangan dari segala penjuru serta pemeliharaan dan perlindungan dari enam penjuru mata angin, sehingga tiada ruang bagi makhluk untuk mencederakan engkau. Tertutuplah daripadamu semua arah dan terkuncilah daripadamu semua pintu. Sehingga engkau tergolong kepada orang yang disebutkan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi:

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, kamu tidak dapat berkuasa atas mereka…” (Al-Isra’ : 65)

Bagaimana mungkin makhluk akan dapat menguasai orang-orang yang mengesakan Allah, yang ikhlas, yang tidak menunjuk-nunjukkan amalnya kepada makhluk, yang berbicara tentang tujuan akhir, bukan pada permulaannya. Semua permulaan itu adalah bisu dan semua penghujung itu adalah pemahaman. Orang yang ikhlas itu kerajaannya ada di dalam hatinya dan kekuasaannya ada di dalam batinnya tanpa memandang kepada kenyataan zahiriyah.

Adalah suatu hal yang jarang terjadi, seseorang yang mampu menghimpunkan kerajaan zahir dan batin. Jadilah kamu menjadi orang yang menyembunyikan semua sikap dan perilakumu, janganlah berhenti, hingga engkau mampu menyempurnakannya dan hatimu sentiasa berhubungan dengan Allah.

Jika engkau telah menyempurnakannya, maka ketika itu engkau tidak lagi akan peduli kepada sebarang halangan dan rintangan. Bagaimana kamu akan mempedulikannya, sedangkan kedudukan engkau telah mantap dan kukuh. Berdirilah engkau ditempatmu, sementara Dia akan memelihara dan melindungimu, maka manusia atau makhluk-makhluk lain akan menjadi dinding penghalang di hadapanmu.

Hinaan dan pujian ketika ini tiada beza bagi kamu, demikian juga dengan penerimaan atau penolakan mereka. Engkau akan menjadi orang yang membangun dan yang merobohkan mereka. Kamu bertindak terhadap mereka dengan seizin Khaliq, al-Haq Pencipta mereka.

Maka Dia akan memberimu jalan pemecahan dan penyelesaian serta membuang semua petaka di dalam hatimu dan memberikan tanda-tanda ke dalam batinmu. Tiada pembicaraan apapun sehingga engkau cukup mafhum dengan semuanya ini. Jika tidak, maka jadilah kamu orang yang berakal, janganlah berbuat bodoh. Kamu adalah bagaikan orang buta, oleh itu carilah orang yang akan menuntunmu, kamu adalah orang bodoh, maka carilah orang yang akan mengajarimu. Jika engkau telah menemuinya maka hendaklah engkau berpegang kepadanya, terimalah semua pendapat dan buah fikirannya dan terimalah dalil-dalil yang diberikannya secara baik. Jika engkau telah mendapatkannya, maka duduklah engkau di sana bersamanya hingga engkau mampu memantapkan pengetahuanmu berkenaan hal itu.

Pada ketika itu akan terlindunglah daripadamu segala kejahatan. Engkau menjadi pengikut kefakiran dan kemiskinan. Kesimpulan daripada semuanya ini ialah menjaga rahsia Allah dan berakhlak kepada manusia dengan akhlak yang baik.

Dari manakah kamu mencari kebenaran dan keredaan Allah selain daripada-Nya! Apakah kamu tidak mendengar firman-Nya yang berbunyi:

“Di antara kamu, ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu (juga) ada orang yang menghendaki akhirat.” (Ali-Imran : 152)

Sementara dalam ayat lain pula, Allah berfirman, yang bermaksud:

“Mereka menghendaki atau menginginkan keredaan-Nya.” (Al-Kahfi : 28)

Sesungguhnya kebahagiaan dan keberuntungan akan menjadi bahagianmu, dan datang kepadamu tangan-tangan mujaddid (pembaharu) yang akan membersihkan kamu daripada sentuhan tangan-tangan makhluk, serta akan membawamu menghampiri pintu gerbang taqarrub kepada Allah. Allah berfirman, yang berbunyi:

“Di sana, pertolongan itu hanya datang dari Allah Yang Haq.” (Al-Kahfi : 44)

Apabila engkau telah sampai ke tahap ini, maka dunia dan akhirat akan datang kepadamu sebagai pelayan, tanpa adanya kesusahan. Capailah pintu al-Haq dan tetaplah engkau berdiri di sana. Apabila engkau tetap di sana, maka akan nyatalah bagimu beberapa seruan atau bisikan, sehingga engkau akan mengetahui dan membezakan antara bisikan nafsu, bisikan hawa, bisikan hati, bisikan iblis dan bisikan malaikat. Inilah yang dikatakan dengan bisikan yang benar dan bisikan yang batil.

Pelajarilah satu demi satu bisikan-bisikan tersebut, sehingga engkau mengetahui tanda-tandanya. Apabila engkau telah sampai ke tahap ini, maka akan datang bisikan (ilham) dari Allah untuk membimbingmu berkenaan dengan kesopanan, keteguhan, tegak dan dudukmu, gerak dan diammu serta perintah dan larangan buatmu.

Wahai kaumku…!

Janganlah kamu mencari tambahan dan pengurangan, awalan dan akhiran, kerana takdir itu telah menyelebungi diri masing-masing dengan sempadan-sempadan atau batas-batas tertentu. Tiada seorangpun di antara kamu, kecuali ia mempunyai catatan atau ketentuan daripada kudrat ini.

Allah telah berlepas tangan daripada segala sesuatu yang telah ditetapkan-Nya sebelumnya. Bagaimanapun, akan datang bagi segala sesuatu itu hukum-hukum yang ditutup oleh perintah-perintah, dalam bentuk larangan dan kewajipan. Oleh yang demikian, tidaklah halal bagi seseorang untuk mengemukakan hujah atau alasan hukum atau ketetapan yang telah lalu. Allah Ta’ala berfirman:

“Dia (Allah) tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya tetapi merekalah yang akan ditanyai.” (Al-Anbiya’ : 23)

Wahai kaumku…!

Beramallah kamu dengan amalan zahiriyah, amalan yang nyata bagaikan dakwat hitam di atas kertas yang putih, sehingga membawamu kepada mengamalkan amalan batin dalam urusan ini. Jika kamu mengamalkan amalan zahiriyah, maka ia akan mendatangkan kefahaman bagimu terhadap perkara-perkara batiniyah, kemudian ia meresap ke dalam jiwamu dan mempengaruhi lisanmu, kemudian ia meresap ke dalam lisanmu dan kamu sampaikan ia kepada manusia. Demikianlah alirannya terus menerus secara berulang-ulang, untuk kemaslahatan dan kemanfaatan manusia sejagat.

Wahai…!

Alangkah beruntungnya kamu jika kamu mengikuti al-Haq dan mencintai-Nya. Sebaliknya, alangkah celakanya kamu, jika kamu hanya mengakui bahawa kamu mencintai Allah. Tahukah kamu bahawa untuk mencintai Allah itu diperlukan beberapa syarat yang mesti dipenuhi…? Sebahagian daripada syarat-syarat cinta kepada-Nya itu ialah mentaati-Nya, serta tidak merasa tenang di sisi selain daripada-Nya, merasa tenteram bersama-Nya serta tidak merasa keberatan untuk tetap bersama-Nya. Apabila cinta kepada Allah itu benar-benar telah mantap dan terhunjam dalam ke hati hamba-Nya, maka hamba itu akan merasa tenteram bersama-Nya, dan membenci segala sesuatu yang boleh melalaikan hati dan jiwa daripada-Nya.

Oleh itu bertaubatlah kamu dari pengakuanmu yang bohong itu, kerana semuanya itu tidak mungkin diperolehi dengan khayalan, angan-angan, dusta, munafik atau dengan sikap kepura-puraan. Bertaubatlah kamu dan tetaplah kamu dalam taubatmu itu. Ketaubatanmu tidak sama dengan bagaimana engkau mengukuhkan taubat itu. Demikian juga dengan penipuan yang engkau lakukan, tidaklah sama dengan perbuatan yang engkau anggap dapat mengukuhkan pembohongan itu, serta apa-apa yang menjadi buah penipuan tersebut.

Tetaplah engkau untuk sentiasa reda dengan Allah, dalam keadaan derita atau sengsara, dalam keadaan miskin atau kaya, dalam keadaan kesusahan atau kesenangan, dalam keadaan sihat atau sakit, dalam keadaan baik atau buruk, ketika memperolehi yang engkau kehendaki atau tidak. Tiada ubat yang sesuai untukmu, selain daripada menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Al-Haq. Jika Dia menetapkan sesuatu yang merugikan kamu, janganlah kamu merasa benci kepada-Nya, jangan pula kamu menjauhkan diri daripada-Nya serta jangan pula kamu mengadukan hal yang menimpa dirimu itu kepada selain-Nya. Kerana semuanya itu akan menambah ujian dan cubaan terhadap dirimu.

Oleh itu hendaknya engkau tenang berada dihadapan-Nya. Lihatlah apa yang dilakukan-Nya terhadap kamu dan untuk kamu, maka berbahagialah kamu dengan perubahan dan penukaran yang dilakukan terhadapmu itu. Jika kamu bersama-Nya dengan jalan seperti ini, maka sudah pasti Dia akan menukar kegelisahanmu dengan ketenangan, dan jiwamu akan tenteram dalam mentauhidkan-Nya.

Ya Allah!

Jadikanlah kami bersama orang-orang yang berada di sisi-Mu dan bersama-Mu. Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada seksaan api neraka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails